Tanda-Tanda Kematian Dalam Keadaan Baik (Husnul Khatimah)

Hakikat pengakhiran seorang manusia, pasti akan menemui mati. Malah, kematian adalah pengakhiran buat semua makhluk bernyawa di dunia ini. Sebagai manusia, pastinya kita mahukan kematian kita adalah dalam keadaan baik, iaitu Husnul Khatimah.

Tetapi, kenyataannya hari ini ialah ramai dari kita yang terlalu sibuk dengan urusan dunia sehingga kita terlupa akan kehidupan di akhirat. Ini menyebabkan kemahuan kita untuk berakhir dalam keadaan baik tidak mampu tercapai.

10 Tanda Seseorang Itu Mati Dalam Keadaan Baik (Husnul Khatimah)

Tanda Seseorang Itu Mati Dalam Keadaan Baik

Tidak ada satu pun di atas muka bumi ini yang kekal abadi. Mana-mana agama di dunia ini mempercayai dan menerima fakta bahawa setiap yang hidup pasti akan merasai kematian.

Dalam Al-Quran, yang menjadi pegangan umat Islam sedunia, ada banyak menceritakan mengenai kematian. Sejauh mana pun kita melarikan diri daripada kematian, ia tetap akan mengekori kita.

Firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-Jumu'ah ayat 8, yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu ingin larikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)."

Sebenarnya, dalam Islam, untuk menjadikan kita sebagai seorang manusia atau insan yang lebih baik adalah dengan cara mengingati mati. Namun, jangan tersalah faham mengenai konsep ini.

Tanda Seseorang Itu Mati Dalam Keadaan Baik

Mengingati mati bukan bermaksud kita meninggalkan urusan dunia serta menjauhkan diri daripadanya. Malah, mengingati mati merupakan satu kaedah supaya kehidupan di dunia kita lebih baik dan lebih berjaya. Ini kerana dengan kita mengingati mati, kita tidak akan melakukan perkara-perkara tidak diredai dan dibenci Allah.

Sabda baginda Rasulullah S.A.W: "Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan kelazatan. Jika ia diingati dan direnungi pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang dan tenang dan jika ia diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri." - (H.R al-Bazzar).

Syeikh Said Hawwa Rahimahullah telah menyatakan bahawa mengingati mati sebagai salah satu cara berkesan untuk menyucikan jiwa manusia daripada kotoran sifat buruk (mazmumah). Ia juga akan memberikan rasa sesalan di atas dosa-dosa yang pernah dilakukan atau perbuatan yang akan membawa kemarahan Allah S.W.T.

Semoga dengan cara ini, kita berdoa kepada Allah supaya pengakhiran kita nanti akan berada di dalam keadaan yang baik iaitu Husnul Khatimah.

Tanda Seseorang Itu Mati Dalam Keadaan Baik

Di sini, mungkin akan ada yang tertanya-tanya apakah tanda seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan baik (husnul khatimah) ini? Panduan di bawah ini akan meringkaskan tanda-tanda seseorang itu meninggal dalam keadaan baik serta beberapa potongan doa untuk mendapatkan pengakhiran baik berdasarkan hadis daripada baginda Nabi Muhammad S.A.W:

1. Melafazkan kalimah syahadah sebelum meninggal dunia - Sabda Rasulullah: Maksudnya: Barangsiapa yang akhir perkataannya ‘Tiada tuhan melainkan Allah’ nescaya dia akan memasuki syurga. - (HR Abu Daud 3316).

2. Meninggal pada hari atau malam Jumaat - Sabda Rasulullah: Tidak ada orang Islam yang meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat kecuali Allah S.W.T akan melindunginya daripada fitnah kubur. - (HR Al-Tirmidzi 1074).

3. Meninggal dunia dalam keadaan berpeluh di dahinya - Sabda Rasulullah: Tanda kematian bagi seorang mukmin ialah dengan berpeluh dahinya. - (HR al-Tirmidzi 982).

4. Seseorang diberikan taufiq dan hidayah serta beramal soleh sebelum dia meninggal dunia - Sabda Rasulullah: Jika sekiranya Allah S.W.T menginginkan kebaikan terhadap hambaNya, maka Allah S.W.T menjadikannya sentiasa melakukan amal.

Para sahabat (RA) bertanya, “Bagaimana dia menjadikannya sentiasa melakukan amal?” Rasulullah S.A.W bersabda: “Allah S.W.T akan memberikan taufiq padanya untuk melaksanakan amal soleh sebelum daripada kematiannya. - (HR al-Tirmidzi 2142).

5. Meninggal dunia disebabkan oleh penyakit yang berkaitan dengan perut - Sabda Rasulullah: Sesiapa yang mati akibat daripada penyakit berkaitan perut, maka dia mati dalam keadaan syahid. - (HR Muslim 1915).

Mari lemas tanda kematian yang baik

6. Meninggal dunia dalam keadaan lemas tenggelam, jatuh bangunan dan syahid di jalan Allah S.W.T - Sabda Rasulullah: Orang yang mati syahid itu ada lima iaitu orang yang meninggal kerana penyakit taun, sakit perut, tenggelam, orang yang jatuh daripada bangunan atau tebing dan syahid di jalan Allah. - (HR al-Bukhari 652).

7. Meninggal dunia dalam keadaan melahirkan anak - Sabda Rasulullah: Seorang muslim yang terbunuh dikira sebagai syahid, kematian akibat wabak taun juga dikira sebagai syahid, kematian kerana sakit perut, mati lemas dan seorang wanita yang meninggal dunia kerana melahirkan anaknya dikira sebagai syahid. - (HR Ibn Kathir 5869).

Tanda mendapat kematian dalam husnul khatimah

8. Meninggal dunia kerana mempertahankan harta dan maruah dirinya - Sabda Rasulullah: Datang seorang lelaki kepada Rasulullah S.A.W lalu bertanya: “Wahai Rasulullah S.A.W, bagaimana kalau ada seseorang yang hendak mengambil hartaku?” Baginda S.A.W bersabda, “Jangan engkau berikan hartamu!”

“Bagaimana kalau dia melawanku?” Baginda S.A.W bersabda; “Lawanlah dia!” “Bagaimana kalau dia membunuhku?” Baginda S.A.W bersabda; “Engkau syahid." “Bagaimana kalau aku yang membunuhnya?” Baginda S.A.W bersabda: “Dia di neraka!” - (HR Muslim 140).

9. Meninggal dunia dalam keadaan melaksanakan amalan soleh - Sabda Rasulullah: Barangsiapa yang mengucap ‘Laa ilaaha illallah’ ikhlas kerana mencari keredaan Allah S.W.T, dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk Syurga.

Barangsiapa yang berpuasa pada suatu hari kerana ingin mencari keredaan Allah S.W.T, dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk syurga. Barangsiapa yang bersedekah ikhlas kerana Allah S.W.T kemudian dia meninggal dunia, maka dia akan masuk Syurga.” - (HR Ahmad 23372).

10. Meninggal disebabkan penyakit taun - Sabda Rasulullah: dari 'Aisyah berkata; "Aku pernah bertanya kepada Rasulullah tentang masalah taun lalu baginda memberitahu kepada aku bahawa taun adalah sejenis seksaan yang Allah kirimkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

Sesungguhnya Allah menjadikan hal itu sebagai rahmat bagi kaum muslimin. Tidak ada seorang pun yang menderita jika dia bertahan di tempat tinggalnya dengan sabar mengharapkan pahala dan mengetahui bahawa dia tidak terkena musibah melainkan kerana Allah telah mentakdirkan kepadanya maka dia mendapat pahala seperti pahala orang yang mati syahid". (HR Bukhari 3215)

Dengan itu, jika seseorang ingin mati dalam keadaan baik dan diredhai Allah maka hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah dengan doa:

"Ya Allah, matikanlah kami dalam keadaan husnul khatimah dan janganlah Kamu matikan kami dalam keadaan su’ul khatimah."

Jika kita jaga Allah, Allah pasti akan menjaga kita. Marilah kita sama-sama merenungi perkara ini dan banyak mengucapkan syukur Alhamdulillah atas nikmat yang tidak terhingga banyaknya kita nikmati semasa dunia ini.

Panduan tanda-tanda meninggal dalam keadaan Husnul Khatimah ini telah dikongsikan oleh Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi). Beliau adalah seorang Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim). Beliau juga merangkap Panel Rujuk Nadwah Ulama dan Ilmuan Malaysia, YADIM.

Sumber Asal: MStar

Post a Comment

0 Comments