Wanita-Wanita Syurga Srikandi Mulia di Sisi Nabi Muhammad

Siapa wanita syurga? Dalam sirah Nabi Muhammad S.A.W telah diceritakan mengenai kisah wanita-wanita syurga ini. Mereka adalah srikandi mulia di sisi Rasulullah. Mereka merupakan wanita cukup hebat dalam dunia Islam.

Wanita-wanita ini mempunyai keistimewaan tersendiri sehingga Allah S.W.T menjanjikan syurga buat mereka. Mereka sepatutnya menjadi ikutan dan idola buat semua wanita, baik yang muda mahupun yang tua.

Wanita Syurga - Srikandi Mulia di Sisi Nabi Muhammad S.A.W

Gambar wanita berhijab
Adakah anda kenali wanita-wanita yang telah diberikan tempat di dalam syurga Allah S.W.T? Menerusi artikel ini anda akan mengetahui siapa mereka secara am, dan kenapa mereka digelar sebagai wanita syurga, serikandi mulia yang telah berada di sisi Nabi Muhammad S.A.W.

Wanita Syurga - Khadijah a-Khuwailid

Siapakah wanita yang sanggup mendermakan seluruh hartanya pada saat semua orang enggan memberinya? Siapakah wanita yang mampu memberikan Rasulullah S.A.W keturunan? Siapakah wanita yang bijak meneguhkan hati seorang suami pada saat semua orang membencinya?

Semua jawapan ini terhimpun pada Khadijah a-Khuwailid. Terangkat kemuliaannya sebagai murabbiah paling terang daripada segenap gugusan bintang.

Wanita Syurga - Aishah

Aishah R.A merupakan wanita pertama di hati Rasulullah S.A.W selepas Khadijah R.A. Wanita
ini memiliki tujuh kelebihan yang tidak dimiliki wanita lain kecuali kelebihan yang diberikan Allah kepada Maryam binti ‘Imran.

Aishah R.A lebih memilih kesederhanaan walaupun seringkali dilimpahkan kekayaan. Dia pernah membahagi-bahagikan 70,000 dirham wang perak padahal pada waktu yang sama dia menampal jahitan pakaiannya.

Wanita Syurga - Ummu Salamah

Siapa pula gerangan wanita tabah yang mekar berbapakan seorang tokoh Quraisy yang dermawan dan pemurah? Wanita ini dengan penuh kecekalan hati mendukung anak dari buaian lalu membawanya menaiki unta. Biarpun tiada sesiapa yang menemani perjalanan panjang yang melelahkan dan berisiko tinggi itu, namun si ibu tekad meneruskan perjalanan untuk menyusuli suaminya demi menyatukan kembali cinta tiga beranak itu di Madinah.

Itulah Ummu Salamah. Tokoh wanita agung yang ternukil dalam Siyar A’lam Al-Nubala’ hasil nukilan Imam Al-Zahabi.

Wanita Syurga - Fatimah

Suatu hari, Rasulullah S.A.W memberitahu Fatimah R.A bahawa dia bukanlah wanita pertama yang masuk ke syurga. Fatimah sangat sedih dengan perkhabaran itu dan cemburu kepada wanita tersebut. Fatimah tertanya-tanya, apakah amalan wanita itu sehingga beliau layak menjadi wanita pertama yang masuk ke syurga?

Nekad untuk berjumpa dengan wanita yang bernama Muti’ah, Fatimah akhirnya diizinkan masuk ke rumah wanita itu pada hari ketiga lawatannya untuk menyelidik keistimewaan atau amalan wanita tersebut.

Fatimah kagum dan terharu dengan layanan istimewa yang diberikan oleh Muti’ah kepada suaminya. Rasulullah memujuk Fatimah dengan mengkhabarkan Muti’ah ialah wanita yang akan menjadi penarik kudanya di syurga nanti.

"Maka sebab itu dia akan masuk dahulu, namun hakikatnya engkaulah Fatimah wanita pertama yang masuk ke syurga," Rasulullah memujuk sambil memandang Fatimah dengan penuh kasih.

Wanita Syurga - Zainab binti Khuzaimah

Terdapat seorang isteri Rasulullah S.A.W yang tidak berkesempatan meriwayatkan sebarang hadis kerana singkatnya hidup bersama Baginda. Walaubagaimanapun beliau tidak pernah menyembah berhala kerana keislamannya sejak dalam buaian lagi.

Muslimah ini telah menyaksikan perjuangan Islam dan cabaran-cabarannya sejak awal kemunculan dan diberi julukan ‘Ummul Masakin’ yang bermaksud ‘Ibu Orang Miskin’.

Itulah Zainab binti Khuzaimah.

Zainab sedar, Rasulullah S.A.W telah berkorban untuk menikahinya demi menafkahi dan melindunginya. Justeru itu, dia menyibukkan diri dengan menyantuni orang miskin selain beribadah kepada Allah S.W.T.

"Awal wanita ahli syurga ada empat. Ia adalah Maryam binti Imran, Fatimah binti Muhammad., Khadijah Khuwailid dan Aisyah." (HR. Hakim dan Muslim).

Perkongsian di atas hanyalah sebahagian daripada serikandi mulia yang rapat di sisi Nabi yang telah banyak berkorban demi Islam sebagai agama yang syumul.

Gambar wanita berhijab cantik

Kalau ikutkan, terdapat terlalu banyak srikandi mulia di sisi Rasulullah S.A.W yang kisah kehidupannya wajar diselusuri untuk diteladani oleh wanita muslimah di zaman ini. Contohilah kebaikan yang telah wanita-wanita syurga lakukan, in Sha Allah, semoga sama-sama mendapat pengakhiran terbaik di sisi Allah S.W.T.

Sumber dan Rujukan:

1. Aisyah Binti Abu Bakar R.A – Isteri yang Kreatif Mempamerkan Cintanya, Fatimah Syarha Mohd Noordin, Solusi Isu No. 22
2. Zainab binti Khuzaimah – Dua Bulan Menjadi Isteri Nabi S.A.W, Fatimah Syarha Mohd Noordin, Solusi Isu No. 29
3. Wanita Pertama Masuk ke Syurga, Dato’ Siti Nor Bahyah Mahamood, Solusi Isu No. 42
4. Ummu Salamah – Terpisah Cinta 3 Beranak, Fatimah Syarha Mohd Noordin, Solusi Isu No. 31
5. Khadijah al-Khuwailid – Isteri Terbaik, Fatimah Syarha Mohd Noordin, Solusi Isu No. 23


Post a Comment

0 Comments