4 Jenis Ibu Patut Didekati dan Yang Patut Dijauhi

Ibu. "Ibu, ibu engkaulah ratu hatiku". Ini adalah lirik lagu popular yang merupakan Original Sound Track (OST) untuk filem Ibu (1953), Filem Ibu diarah oleh pengarah S. Ramanathan, seorang pengarah filem Singapura dan dibintangi oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee; yang juga bertindak sebagai Penolong Pengarah..

OST filem ini bertajuk 'Ibu' adalah lagu hasil ciptaan Ahmad Jaafar dan dinyanyikan oleh P. Ramlee. Lagu ini memang berhantu. Apabila dilagukan, ia mampu menusuk ke hati dengan bait-bait lirik yang indah.

Jenis Ibu Yang Patut Didekati dan Jenis Ibu Yang Patut Dijauhi

Older Women

Bercakap pasal ibu, tahukah anda ada jenis-jenis ibu yang patut didekati dan ada jenis-jenis ibu yang patut dijauhi. Ada jenis ibu yang boleh membawa kebaikan, dan ada jenis ibu yang apabila didekati akan membawa kemudaratan.

Pasti, ramai yang tak tahu mengenai jenis-jenis ibu ini terutama jenis ibu yang patut dijauhi. Masa-kan ibu boleh membawa keburukan walhal seluruh dunia tahu betapa suci murni seorang ibu, dan hebat pengorbanan mereka bergelar ibu sehingga sanggup mengadaikan nyawa untuk melahirkan kita ke dunia.

Jom, di sini akan disenaraikan jenis-jenis ibu yang patut didekati dan yang patut dijauhkan untuk elak daripada membawa mudarat pada diri.

4 Jenis Ibu Yang Membawa Kebaikan

Mari dekati 4 ibu kebaikan di bawah, semakin rapat dengan 4 jenis ibu ini pasti jutaan kelebihan akan diperoleh.

Ibu Kandung

Dekatilah ibu kandung kerana dialah yang melahirkan kita semua ke dunia. Tanpa ibu kandung, kita tak akan dapat menikmati apa yang kita sedang nikmati sekarang. Malah, dalam agama Islam, taraf kedudukan ibu sangat tinggi sehingga diibaratkan syurga anak itu berada di bawah kedua kaki ibu.

Ibu kandunglah yang memberikan susu ketika kita baru lahir dan lapar. Ibu kandunglah yang melindungi kita daripada ancaman bahaya di kala kita tidak berdaya. Banyak dan besar jasa seorang ibu hingga tak mungkin dibalas dengan nyawa sekalipun.

Ibu Mertua

Taraf ibu mertua adalah hampir sama dengan ibu kandung; dialah menjadi pengganti andai ibu kandung sendiri sudah tiada. Jika tanpa ibu mertua, kita tak akan mungkin menemui pasangan hidup kita dan membolehkan kita berkeluarga.

Walaupun, hakikat sebenar taraf ibu mertua tidaklah setara dengan ibu kandung sendiri. Namun bersikap kasar dan biadap kepada ibu mertua tetap mendatangkan dosa sekalipun tidak sebesar dosa menderhaka kepada ibu sendiri.

Ibu Susuan

Dekatilah ibu susuan (jika ada) dengan memberikan kebaikan kepadanya. Dalam agama Islam, ibu susuan diberikan taraf dimana ia melibatkan hubungan mahram atau hubungan kekeluargaan. Jika mahu tahu lebih lagi mengenai ibu susuan, boleh baca di sini [https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/1138-bayan-linnas-siri-70-isu-berkenaan-ibu-susuan-pelbagai-hukum-kad-atau-sijil-susuan]

Ibu Al Quran - Al Fatihah

Buat seorang Muslim, dekatilah ibu Al-Quran iaitu surah al-Fatihah. Surah ini diturunkan di Mekah dan diturunkan selepas Surah Al-Muddathir. Surah ini mempunyai 7 ayat dan inilah surah pertama yang diturunkan lengkap keseluruhan ayat bagi sebuah surah dan termasuk dalam golongan surah Makkiyyah.

Surah ini dinamakan al-Fatihah (Pembukaan) kerana ia dijadikan sebagai pembuka dan permulaan al-Quran. Surah ini juga dinamakan Ummul Quran (ام القــرآن - Ibu Quran) atau Ummul Kitaab (ام الكتاب - Ibu Kitab) kerana ia merupakan ibu atau induk kepada semua isi al-Quran dan menjadi inti sari dari kandungan al-Quran itu sendiri.

Surah ini turut dinamakan As-Sab'ul Matsaani yang bermaksud tujuh yang berulang-ulang kerana ayat ini diulang-ulang dalam setiap sholat.

4 Jenis Ibu Yang Membawa Kerosakan

Dan jauhkan diri anda dari 4 ibu kerosakan yang disenaraikan di bawah ini. Jangan sampai anda menjadi 'belaan' ibu-ibu ini. Bukan apa, ia akan memudaratkan diri anda, jika tidak sekarang pasti suatu hari nanti. Ketika itu, tak guna anda menyesali kerana semuanya sudah terlambat kecuali anda mencari pintu taubat.

Ibu Kehancuran - Syirik

Sebagai orang Islam, jauhilah daripada melakukan perkara-perkara syirik, iaitu perkara-perkara yang menyekutukan dan menduakan Allah S.W.T. Allah S.W.T adalah Tuhan Maha Esa, tiada Tuhan selain Dia.

Syirik boleh berlaku kerana perbuatan dan juga perkataan. Perkara-perkara yang dianggap syirik ialah seperti bergantung nasib kepada sesuatu benda, menyembah sesuatu selain Allah S.W.T dan juga menidakkan dengan perkataan bahawa ada benda lain yang lebih berkuasa daripada Tuhan.

Ibu Kemaksiatan - Arak dan Zina

Langsung jauhilah zina, kerana ia adalah ibu kemaksiatan; begitu juga dengan minuman arak. Pernah ada cerita, hanya kerana seteguk arak, seorang yang beriman dan bertaqwa boleh terjebak melakukan perbuatan keji yang lain.

Kerana zina, seseorang boleh menghancurkan kehidupan orang lain. Kerana arak, seseorang boleh melakukan jenayah malah disebabkan mabuk arak, boleh menyebabkan kematian orang lain. Jauhilah ibu kemaksiatan ini.

Ibu Ayam 

Ibu Ayam adalah merupakan peribahasa Melayu yang bermaksud 'perempuan yang memperdagangkan pelacur'. Janganlah dekati ibu ayam ini jika mahu kehidupan anda diberkati dan rumahtangga anda aman bahagia.

Ia juga mendekatkan anda dengan ibu kemaksiatan iaitu zina.

Ibu Keladi

Ini juga adalah satu peribahasa Melayu yang membawa erti 'orang tua yang berkelakuan seperti orang muda'. Dalam masyarakat Melayu, mereka yang digelar ibu keladi selalunya berperwatakan miang  dan kadangkala dianggap sebagai 'orang tua tak sedar diri'.

Post a Comment

0 Comments