Wabak Covid-19 atau novel-Koronavirus kini memasuki episod baharu apabila ia kini diisytiharkan sebagai satu Pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 12 Mac 2020. Ini bersandarkan kepada fakta bahawa jumlah kes jangkitan Covid-19 telah meningkat lebih 13 kali ganda dalam tempoh 2 minggu.

Sebanyak 125, 841 kes telah dilaporkan termasuk 4,623 kematian sehingga ke saat artikel ini diterbitkan (rujuk terkini di sini). Ia melibatkan lebih daripada 100 buah negara termasuk Malaysia.

Covid-19 - Maksud dan Beza Pandemik, Epidemik dan Endemik

Covid-19 Pandemik Dunia

Ramai yang ingin tahu apakah yang dimaksudkan dengan pandemik ini. Apakah reaksi yang sepatutnya kita tunjukkan apabila sesuatu wabak itu telah diisytiharkan sebagai satu pandemik? Apa pula beza dengan epidemik dan endemik?

Secara amnya, pandemik merujuk kepada wabak yang merebak secara besar-besaran ke serata dunia secara serentak – merentasi wilayah dan melibatkan populasi yang besar. Selain kejadian wabak yang merentasi wilayah, pandemik mempunyai beberapa ciri-ciri umum yang menarik.

Salah satu ciri pandemik adalah ia melibatkan penyakit yang mempunyai kadar serangan yang tinggi menyebabkan bilangan kes meningkat dengan cepat dan berganda secara tiba-tiba dalam tempoh masa yang singkat.

Biasanya, penyakit yang menyebabkan satu pandemik adalah penyakit baru (novel). Ini adalah kerana penyakit baharu ini tiada sebarang ubat khusus atau vaksin yang mampu mengekangnya secara berkesan.

Beza Pandemik, Epidemik dan Endemik

Covid-19 atau sebelum ini dikenali sebagai novel-Koronavirus adalah merupakan penyakit baharu yang tidak mempunyai vaksin mahupun penawar khusus. Covid-19 misalnya telah menyerang pada populasi manusia yang tidak mempunyai imuniti atau daya tahan melawan terhadap penyakit tersebut sehingga menyebabkan seluruh China mempunyai kes Covid-19.

Malah, Covid-19 ini telah merebak dengan sangat pantas merentasi negara dan benua sehingga telah menyebabkan kematian yang tinggi.

Satu lagi ciri pandemik ialah tahap penularannya. Penularan wabak Covid-19 sehingga diisytiharkan sebagai pandemik turut dibantu oleh faktor pergerakan manusia dan kewujudan persamaan faktor persekitaran.

Beza Pandemik, Epidemik dan Endemik

Pandemik, Epidemik dan Endemik

Sesebuah pandemik bermula daripada wabak peringkat epidemik yang merebak terlalu luas sehingga tidak terkawal. Endemik adalah wabak yang wujud dan terkawal, sementara pandemik pula merebak pantas tanpa dapat dikawal.


Endemik bermaksud kejadian sesuatu penyakit yang sentiasa wujud dalam sesuatu masyarakat atau tempat. Bilangan kes penyakit tersebut sentiasa ada dan pada kadar yang stabil.

Epidemik membawak makna penyakit berjangkit yang mudah merebak di kalangan penduduk sesuatu kawasan pada waktu yang sama sehingga tidak terkawal.

Pandemik kejadian penyakit merebak ke peringkat atau skop lebih besar, merentasi negara dan benua serta ianya berlaku secara cepat dan pantas.


Asal-Usul Perkataan Pandemik, Epidemik dan Endemik

Beza Pandemik, Epidemik dan Endemik

Asal-usul perkataan pandemik diambil daripada istilah Greek 'pan' yang memberi maksud semua dan 'demos' yang bermakna orang, membawa maksud penuh 'semua orang.' Istilah Inggeris yang ada sekarang diambil daripada pinjaman istilah Latin 'pandemus' dengan pangkalnya digantikan dengan akhiran '-ic' pada tahun 1660.

Perkataan epidemik asalnya datangnya daripada perkataan Greek 'epi'+'demos' dengan 'epi' bermakna 'kelompok tertentu' dan 'demos' bererti 'orang ramai, komuniti, kumpulan. Perkataan 'Epidemia' telah mula digunakan untuk merujuk kepada wabak dalam kelompok komuniti oleh orang Greek sebelum orang Perancis mengubah ejaannya kepada 'epidemique' yang menjadi asas kepada ejaannya sekarang - 'epidemic.' Istilah Inggeris ini mula digunakan pada tahun 1600 dan kekal sehingga kini.

Endemik merujuk kepada kumpulan orang asal atau orang 'native' yang duduk di sesuatu kawasan. Perkataan asalnya dalam bahasa Greek adalah 'in+demos' yang membawa makna 'kepunyaan atau berasal daripada sekumpulan manusia di sesuatu tempat khas'.

Perkataan 'endemic' mula direkodkan pada tahun 1650 sebagai perkataan Inggeris dipinjam daripada evolusi perkataan asal 'indemos' yang ketika itu dieja sebagai 'endemos'.

Sejarah Pandemik Dunia

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa dunia pernah berhadapan dengan pandemik satu ketika dahulu. Dari sudut sejarah, kejadian Black Death atau Maut Hitam adalah contoh pandemik yang telah meragut jutaan nyawa di negara-negara benua Asia serta Eropah.

Wabak atau pandemik Black Death ini berlaku di antara kurun ke-14 sehingga kurun ke-17. Ia satu tempoh yang agak lama dan telah melenyapkan lebih dua pertiga penduduk dunia ketika itu akibat dijangkiti kuman penyakit hawar iaitu Yersinia pestis. Penyakit ini dibawa oleh tikus.

Influenza tahun 1918

Satu lagi kejadian pandemik yang pernah berlaku adalah pandemik influenza, ianya terjadi antara tahun 1918 – 1919. Pandemik ini telah meragut lebih banyak nyawa dari Perang Dunia Pertama. Satu per lima dari populasi dunia terdiri dari mereka dalam lingkungan umur 20-40 tahun telah dijangkiti virus influenza tersebut dan menemui maut.

Sumber: Oxford Academic, WHO, Iluminasi

Post a Comment

Previous Post Next Post